KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ
"Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka" [Surah al-Nisa’ 102]
Berkata Imam al-Khatib as-Syarbini rahimahullah: “Perintah ini (solat berjemaah) diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman" (Rujuk Mughni al-Muhtaj)
Antara amalan yang dijanjikan gandaan pahala untuk kita kumpul sebagai bekal akhirat ialah solat berjemaah. Sabda Rasulullah saw:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
"Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat" (HR Muslim)
Solat berjemaah bagi kaum lelaki adalah di masjid dan merupakan suatu perkara yang dituntut di sisi syarak. Terdapat banyak nas yang menunjukkan kepada anjuran perbuatan tersebut. Antaranya sabda Rasulullah saw:
مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ
"Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran" (HR Ibnu Majah)
Namun bulan Ramadhan pada tahun ini disambut seiringan dengan musibah covid-19 yang menyebabkan kita semua terkurung di dalam rumah bersama ahli keluarga dan tidak dibenarkan solat berjemaah di masjid. Antara hikmahnya, selain setiap hari dapat berbuka puasa bersama ahli keluarga, kita juga berpeluang setiap hari menunaikan solat fardhu secara berjemaah 5 waktu di bulan Ramadhan tahun ini. Suatu suasana yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Rahmat disebalik ujian.
Terdapat beberapa kelebihan dan manfaat menunaikan solat secara berjemaah, antaranya:
1. Dapat meraih ganjaran pahala secara berkumpulan.
2. Dapat berkumpul dalam susunan waktu yang tepat.
3. Dapat mengatur waktu solat di awal waktu.
4. Menambahkan keakraban dan kasih sayang.
5. Menghidupkan syiar Islam.
6. Menampakkan eratnya silaturrahim.
7. Mendidik ahli keluarga ilmu dan hukum hakam berkaitan solat.
8. Belajar cara mentaati pemimpin.
9. Menambahkan semangat untuk beribadah.
10. Salah satu cara dakwah kepada ahli keluarga.
11. Menghidupkan sunnah Nabi saw.
12. Mengikuti generasi awal Islam yang rajin solat secara berjemaah
Sabda Nabi saw:
وَإِنَّ صَلاَةَ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ وَحْدَهُ ، وَصَلاَتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ مَعَ الرَّجُلِ ، وَمَا كَثُرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللهِ تَعَالَى
"Solat seorang lelaki bersama lelaki yang lain lebih baik daripada solat secara bersendirian. Dan solatnya bersama dua orang lelaki lebih baik daripada solat bersama seorang lelaki. Dan lebih banyak itulah yang paling disukai oleh Allah swt" (HR Abu Daud)
Jom hidupkan solat berjemaah bersama ahli keluarga pada setiap waktu dirumah masing-masing bersempena musim covid-19 ini. Berazamlah dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau tatkala berakhirnya musibah covid-19 ini tidak lama lagi, insyaAllah. Aamiiin.
Jazakallah
😍
Alhamdulillah